Kejayaan era maklumat kini banyak bergantung kepada kemahiran berfikir aras tinggi seperti, kemahiran penyelesian masalah, kemahiran membuat penilaian secara kritis serta kemahiran berfikir secara kreatif. Oleh itu, pelajar perlu dilibatkan dengan aktiviti yang menjurus kepada tahap pemikiran yang lebih tinggi mengikut taksonomi bloom (menganalisis, menilai, mencipta).
 
Keadaan dunia yang sentiasa berubah dan mencabar ini, menuntut para pelajar kita bukan hanya membina kapasiti dari aspek pengetahuan semata-mata tetapi juga membina pemikiran aras tinggi seperti pemikiran sistematik, penyelesaian masalah dan membuat keputusan berdasarkan analisis situasi secara kritis. Pembangunan KBAT adalah amat penting untuk membolehkan pelajar membuat anjakan dari pengetahuan serta kemahiran kepada tindakan sebagai rakyat yang bertanggungjawab tanpa mengira peranan dalam masyarakat.
KBAT merupakan agenda utama dalam PPPM 2013-2025, maka adalah menjadi tanggungjawab warga IPG, pensyarah khususnya untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara terutama dalam memupuk KBAT dalam kalangan guru pelatih. Susulan itu adalah wajar guru pelatih mengamalkan kemahiran berfikir dan memahami secara mendalam tentang program i-THINK. |